Penyakit Meroyan

Bookmark and Share
Mengikut ilmu perbidanan Melayu, penyakit meroyan atau merian hendaklah diberi perhatian kerana penyakit ini akan berlarutan seumur hidup sekiranya dibiarkan tanpa rawatan. Salah satu punca penyakit tersebut ialah darah bantal yang tidak keluar dengan sempurna atau teratur, yang seterusnya akan terjadi darah beracun. Darah beracun ini akan menguasai urat saraf dan mengganggu keseimbangan hormon wanita.

Gila Meroyan

Sekiranya darah bantal tidak keluar dengan sempurna, bahagian sulit akan berbau busuk. Bau itu tidak dapat diatasi walaupun dicuci dengan apa cara sekalipun. Ini kerana darah busuk yang berbau sperti bangkai masih tertinggal dan melekat atau tersangkut seperti ketulan kecil atau besar di dalam lapisan tisu rahim (endometrium).

Keadaan tersebut mungkin menjadi punca pengeluaran haid yang tidak teratur atau tidak lawas. Bahkan, sekiranya berlarutan sepanjang tempoh pantang bersalin, darah busuk itu akan menjadi punca sakit kepala, kemurungan dan seterusnya membawa kepada sakit angin meroyan, angin kotor dari rahim atau disebut juga sebagai mother's blues. Terdapat beberapa jenis penyakit meroyan yang dikenal pasti oleh pakar perubatan tradisional Melayu.

Meroyan Api

Dinamakan meroyan api kerana semasa dalam pantang, ibu akan menjadi bengis, garang, cepat marah sehingga boleh sampai ke tahap menjerit-jerit dan lupa. Kemarahan adalah melampau, adakalanya menyebabkan ibu tersebut menghempas atau membaling anak kecilnya (yang selalu menangis).

Meroyan Kentung (Kertung)

Ibu akan menjadi murung, hiba, sayu, mudah menangis, perasa dan adakalanya kelihatan seperti bodoh sehingga apabila berlarutan tidak dapat membezakan antara anak dengan bantal.

Meroyan Urat

Ibu mengalami ketegangan urat saraf sehingga sentiasa mengeraskan diri seperti mengalami kekejangan otot atau disebut oleh masyarakat di utara Semenanjung sebagai "kediang badan".

Meroyan Lendir

Ibu sentiasa kelihatan pucat, lesu, mata pudar dan keguguran rambut serta badan menjadi susut.

Meroyan Tinggal

Ibu sentiasa berleter, bercakap seorang diri dan mengambil peluang untuk lari dari rumah. Ibu yang mengalami masalah ini mungkin tidak mahukan bayinya sendiri. Dia sering tertawa, mengilai seperti dirasuk atau dalam kes yang teruk tidak mengenali suaminya sendiri.

Meroyan Bulu

Ibu sentiasa berasa seram sejuk, bulu roma sentiasa berdiri tegak dan adakalanya menggeletar kesejukan sehingga menyebabkan kancing gigi. Adakalanya mereka akan kelihatan seperti terkena sampuk.

Meroyan Kulit

Ibu berasa gatal serta miang seluruh badan dan tergaru-garu seperti kelakuan kera. Akibat sering menggaru itu, seluruh badan seperti sedang mengalami penyakit kulit.


Kaedah Rawatan Penyakit Meroyan

Para ibu disyorkan mengamalkan perubatan herba dan rempah ratus khusus bagi rawatan semasa dalam pantang. Satu kajian yang dijalankan mendapati kandungan cekur dalam ubat herba bersalin mempunyai potensi untuk menghindari penyakit murung. Manakala satu kajian lagi tentang kunyit, mendapati herba tersebut mempunyai ciri antioksidan dan antibengkak. Secara tradisional halia, serai, jerangau dan rempah ratus diyakini mampu mengeluarkan sisa racun akibat pemakanan agar darah kembali bersih. Sesungguhnya gabungan bahan-bahan tersebut dapat membantu ibu-ibu mengelak daripada dihinggapi penyakit meroyan. Selain itu, ramuan ini dapat membantu membersihkan rahim daripada pengumpulan angin, lendir dan darah beracun daripada darah bantal yang tertinggal sekali gus dapat mempercepatkan pengecutan rahim, mengimbangi hormon, melegakan sakit urat saraf dan membantu melangsingkan badan.

{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Posting Komentar