Mengangkat Dan Meletak Bayi

Bookmark and Share
Sebagai ibubapa baru, anda mungkin berasa kekok dan gementar untuk mengendalikan bayi. Mengangkat dan meletakkan bayi memerlukan teknik yang betul. Pengendalian yang cermat mengelakkan bayi anda dari tercedera.

Fontenal lembut yang terletak di atas kepala bayi anda mempunyai membran kuat yang bertindak melindungi fontenal itu. Namum begitu, sekiranya anda mengangkatnya secara tiba-tiba, bayi anda mungkin akan terperanjat. Akibatnya, dia akan bertindak melemparkan dirinya ke luar atau berasa takut kerana memikirkan dia akan terjatuh.

Namum, situasi cemas dan berhati-hati ini hanya akan dilalui dalam satu tempoh yang singkat. Rasa yakin dalam diri anda dapat membantu memudahkan cara mengendalikan bayi. Malah, semakin bayi meningkat dewasa, dia sudah mampu mengawal otot-ototnya dan suka diangkat tinggi.

Ketika memindahkan kedudukan dari satu posisi yang lain, pastikan anda sentiasa berkomunikasi dengannya. Dengan cara ini anda dapat memupuk keyakinan diri pada bayi kerana dia sudah biasa dengan suara anda.

Bayi kurang dari umur lapan minggu masih belum mampu mengawal kepala dan otot-ototnya. Oleh itu, anda perlu sentiasa menyokong badannya sepanjang masa supaya kedudukan kepalanya dan anggota badan yang lain tidak terjuntai. Ikuti langkah mengangkat dan meletakkan bayi seperti di bawah.


Teknik Mengangkat Bayi


Langkah 1 : Ketika kedudukan bayi dalam posisi menelentang, masukkan sebelah tangan anda ke sebelah belakang di bahagian bawah badan dan punggungnya. Lakukan ia dengan lembut dan perlahan agar bayi anda selesa dan tidak terkejut.

Langkah 2 : Dari sebelah arah bertentangan, masukkan sebelah lagi tangan anda ke bawah leher dan kepalanya. Ia bagi menyokong leher bayi agar lebih kukuh dan kepalanya tidak akan terjuntai.

Langkah 3 : Angkat bayi anda dengan perlahan dan cermat supaya badan dan kepala bayi anda dapat disokong. Senyum dan bercakap-cakap dalam nada yang lembut dengan bayi anda sekiranya ketika itu dia terjaga.

Langkah 4 : Ubah kedudukan kepala bayi anda ke bahagian melengkok di siku atau bahu anda supaya sokongan kepalanya menjadi lebih kukuh. Bayi anda akan berasa amat selesa dalam kedudukan seperti ini.


Cara Meletakkan Bayi

Langkah 1
: Ubah kedudukan kepala bayi anda ke bahagian melengkok di siku atau bahu anda supaya sokongan kepalanya menjadi lebih kukuh. Bayi anda akan berasa amat selesa dalam kedudukan seperti ini.

Langkah 2 : Tarik tangan anda keluar dari bawah punggung bayi dan gunakan tangan ini untuk mengangkat kepalanya supaya anda dapat menarik tangan anda yang sebelah lagi dengan mudah. Secara perlahan-lahan letakkan kepalanya di atas atau bantal. Jangan biarkan kepala anak anda terhentak atau terjatuh di atas sesuatu permukaan dan pastikan anda tidak menyentak keluar tangan yang menyokong kepala dan badan bayi dengan cepat. Tindakan ini akan memeranjatkannya dan mungkin juga akan mendatangkan kecederaan.


Kaedah Membuai Bayi

Langkah 1
: Bayi akan berasa lebih selesa dan selamat jika anda membuainya dalam lengkungan siku anda. Dalam posisi ini, kepala dan anggota tubuh bayi anda disokong dengan baik.

Langkah 2 : Dukung bayi mukanya ke bawah. Satu posisi yang menarik untuk bayi anda! Sesekali posisi dukungannya perlu juga diubah. Dia mungkin suka jika didukung dalam keadaan muka menghadap ke bawah. Dalam keadaan ini, dagu dan pipinya akan direhatkan pada lengan anda. Buailah bayi anda perlahan-lahan, tentu dia akan seronok.

Langkah 3 : Dukung bayi pada bahu. Dalam posisi ini, bayi berasa lebih yakin dan selamat. Berat badan bayi dapat diampu dengan baik dengan meletakkan satu tangan di bawah punggungnya. Manakala tangan yang satu lagi bertindak menyokong kepalanya. Nyanyikan lagu sambil membuai tubuh anda agar bayi dapat tidur lena.


Cara Angkat Bayi Dari Tepi

Cara 1
: Posisi ini sesuai untuk bayi yang tidur di dalam buai mahupun di atas tilam bayi. Cara paling selamat bagi bayi adalah jika baring mengiring. Untuk mengangkatnya, masukkan sebelah tangan anda ke bawah leher dan kepalanya. Manakala tangan sebelah lagi dimasukkan ke bawah punggungnya bagi mendapatkan sokongan yang lebih stabil.

Cara 2 : Tatang bayi anda perlahan-lahan. Pastikan kepalanya tidak terjuntai. Setelah bayi berada dalam posisi yang selesa, angkat bayi anda perlahan-lahan.

Cara 3 : Rapatkan bayi anda pada badan anda, kemudian sisipkan lengan anda ke bawah kepalanya.

Cara 4 : Sekarang, bayi anda berada dalam posisi selamat, yakni kepalanya disokong di dalam lengkungan siku anda. Dia pasti tidur lebih lena kerana berasa selamat dalam dakapan anda.

{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Posting Komentar