Panduan Pemakanan Untuk Pencegahan Anemia

Bookmark and Share

Ibu hamil yang mengalami anemia perlu mengamalkan panduan berikut:



A) Tingkatkan Pengambilan Makanan Yang Kaya Dengan Zat Besi



Zat besi terdapat dalam daripada sumber haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Walau bagaimanapun zat besi yang terdapat dalam makanan daripada sumber haiwan seperti daging merah dan makanan laut mudah diserap oleh tubuh puan berbanding dengan zat besi yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan.

Oleh itu puan dinasihatkan supaya makan makanan ini sekurang-kurangnya 4 kali dalam seminggu. Terdapat banyak jenis makanan yang mempunyai kandungan zat besi yang tinggi dan puan boleh memilih mengikut selera dan keperluan seperti di bawah:



Makanan Sumber Haiwan



Jenis / Saiz Hidangan / Berat / Kandungan Zat Besi / Pengambilan 1 Minggu



Daging / 2 keping saiz kotak mancis / 60 gm / 1.2 mg / 6 – 8 keping



Ayam / 1 ketul paha saiz sederhana / 60 gm / 0.5 mg / 3 – 4 ketul



Hati, Pedal Ayam / 1 ketul / 22 gm / 2.2 gm / 1 ketul (2 lobar)



Hati lembu / 1 keping saiz kotak mancis / 30 gm / 2.5 gm / 1 keping



Kerang / 20 biji / 50 gm / 4.1 gm / 20 biji



Ikan / 1 ekor saiz sederhana / 36 gm / 0.9 gm / 3 – 4 ekor



Ikan bilis / 1 sudu makan / 1 sudu makan / 0.05 gm / 5 sudu makan





Makanan Sumber Tumbuh-Tumbuhan



Jenis / Saiz Hidangan / Berat / Kandungan Zat Besi / Pengambilan 1 Minggu



Peria / 1 cawan / 125 gm / 7.3 mg / 7 cawan



Kangkung / 1 cawan / 78 gm / 4 mg / 7 cawan



Bayam / 1 cawan / 54 gm / 2.3 mg / 7 cawan



Taugeh / 1 cawan / 87 gm / 1.5 mg / 7 cawan





B) Tingkatkan Pengambilan Vitamin C



Kadar penyerapan zat besi yang terdapat dalam makanan sumber tumbuh-tumbuhan seperti bijirin, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran adalah lebih rendah berbanding dengan kadar penyerapan zat besi daripada dengan kadar penyerapan zat besi daripada sumber haiwan. Oleh itu untuk meningkatkan kadar penyerapan zat besi daripada sumber bijirin, kekacang dan sayur-sayuran, puan digalakkan untuk makan makanan tersebut bersama dengan makanan yang kaya dengan vitamin C.

Selain daripada itu, kehadiran makanan daripada sumber haiwan seperti daging dan ikan juga boleh meningkatkan penyerapan zat besi daripada bijirin, kekacang dan sayur-sayuran. Kandungan vitamin C yang boleh meningkatkan kadar penyerapan zat besi.





Kandungan Vitamin C Dalam Buah-Buahan



Makanan / Saiz Hidangan / Berat / Kandungan Vitamin C



Jambu Batu / 1 potong / 64 gm / 97 mg



Buah Kiwi / 1 biji / 87 gm /65 mg



Limau Manis / 1 biji / 134 gm / 30 mg



Limau Nipis / 1 biji / 73 gm / 17 mg



Mangga / 1 biji / 232 gm / 30 mg



Nenas / 1 potong / 106 gm / 16 mg



Belimbing Besi / 1 biji / 113 gm / 26 mg



Tembikai / 1 potong dengan kulit / 40 gm / 2.2 mg



Buah Betik / 1 potong tanpa kulit / 159 gm / 112 mg





C) Kawal Pengambilan Makanan Yang Menghalang Penyerapan Zat Besi



Puan dinasihatkan supaya mengawal pengambilan teh atau kopi kerana minuman ini mengandungi tanin yang boleh menghalang penyerapan zat besi daripada sumber bijirin, kekacang dan sayur-sayuran.



Jika Puan teringin untuk meminum teh atau kopi, minuman tersebut boleh diminum 2 jam selepas waktu makan utama untuk mengelakkan gangguan ke atas penyerapan zat besi. Puan digalakkan untuk minum jus buah-buahan bagi mengantikan teh atau kopi untuk meningkatkan penyerapan zat besi.



Begitu juga dengan kalsium yang terdapat di dalam susu dan hasil tenusu. Ia juga merupakan bahan yang boleh merencat penyerapan zat besi daripada sumber haiwan. Oleh itu sila pastikan puan minum susu 2 jam selepas waktu makan utama. Waktu terbaik untuk minum minuman bersusu adalah waktu minium pagi, minum petang dan sebelum tidur iaitu 2 jam selepas waktu makan utama.



Makanan-makanan lain yang mengandungi bahan yang boleh merencat penyerapan zat besi adalah seperti di bawah. Puan dinasihatkan agar mengatur pengambilan makanan tersebut supaya ia tidak mengganggu penyerapan zat besi.





Jenis Makanan – (Bahan Perencat Penyerapan Zat Besi)



Oat dan Gandum Bijirin Penuh – (Fitat)



Teh, Kopi , Koko – (Polifenol dan Tanin)



Susu dan Hasil Tenusu – (Kalsium)



Kuning Telur – (Fosvitin)





D) Amalkan Pengambilan Hematinik



Ibu hamil yang datang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan kerajaan akan dibekalkan dengan pil suplemen yang terdiri daripada zat besi, asid folik, vitamin C dan vitamin B kompleks. Pil-pil suplemen ini akan meningkatkan paras hemoglobin dalam darah puan dan boleh mencegah puan daripada mengalami anemia.



Pengambilan pil suplemen ini boleh menimbulkan kesan mual, loya atau sembelit dan warna najis puan juga akan bertukar ke warna kehitaman. Oleh itu puan jangan risau kerana ini menandakan bahawa pil suplemen berkenaan telah diserap dengan begitu baik ke dalam tubuh puan. Teruskan pengambilan pil suplemen ini mengikut dos dan kekerapan yang disarankan oleh anggota kesihatan.





Panduan Pemakanan Bagi Ibu Vegetarian



Sekiranya puan seorang vegetarian, puan berisiko untuk mengalami anemia kerana kebanyakkan makanan puan terdiri daripada sumber tumbuh-tumbuhan yang mempunyai kadar penyerapan zat besi yang rendah. Oleh itu untuk meningkatkan penyerapan zat besi daripada sumber bijirin, kekacang dan sayur-sayuran, puan dinasihatkan supaya meningkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin C seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.





{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Posting Komentar