Makanan Untuk Pertumbuhan Optimum

Bookmark and Share
Kanak-kanak yang berlainan usia memerlukan jumlah tenaga dan nutrien yang berbeza untuk menyokong pertumbuhan fizikal dan pertumbuhan mental mereka. Nutrien berlainan mempunyai fungsi yang berbeza untuk menyokong pertumbuhan. Tiada satupun makanan yang dengan sendirinya dapat membekalkan segala nutrien yang diperlukan anak-anak anda. Oleh itu, anda perlu sajikan pelbagai jenis makanan dalam jumlah sederhana, dengan menggabungkan dan mengimbangkan makanan daripada 5 kumpulan makanan yang berikut setiap hari.

Bijirin Dan Produknya

~ Sumber tenaga, serat makanan, vitamin dan zat galian. Serat makanan membantu melawaskan perut dan menjamin kesihatan sistem penghadaman.

~ Sumber : Beras, gandum, oat, barli dan produknya seperti m, roti, bijirin sarapan dan biskut.

~ Petua : Pilih produk bijirin penuh ( seperti roti mil penuh, beras perang) kerana kandungan serat, vitamin dan zat galiannya lebih tinggi daripada produk bijirin yang diproses (seperti roti putih, beras putih).


Sayur-Sayuran

~ Kaya dengan serat, fitokimia, vitamin dan zat galian.

~ Sumber : Sayuran berdaun hijau (bayam), sayuran berakar (lobak merah), sayuran berbentuk buah (tomato), sayuran cruciferous (kubis) dan sayuran kekacang (kacang panjang).

~ Petua : Sayur-sayuran yang ditumis dengan sedikit minyak bukan sahaja melazatkan makanan, tetapi juga mengurangkan kehilangan nutrien.


Buah-Buahan

~ Kaya dengan vitamin dan fitokimia untuk mengekalkan kesihatan.

~ Sumber : Betik, jambu batu, pisang, tembikai, epal, oren dan pear.

~ Petua : Buah-buahan yang berlainan warna mengandungi nutrien yang berbeza. Jadi, galakkan si manja anda makan buah-buahan beraneka warna setiap hari.


Ikan, Daging, Ayam, Telur dan Kekacang

~ Kaya dengan protein, yang membantu membina dan juga membaiki otot dan tisu.

~ Sumber : Ikan, ayam, itik, daging lembu dan kambing, telur, pelbagai jenis kacang dan kekacang dan produknya seperti tauhu, taukua, fucuk.

~ Petua : Kombinasi protein haiwan (daging, ikan, ayam, itik dan telur) dan tumbuhan (kekacang, kacang pis) dapat membekalkan protein yang diperlukan oleh anak-anak anda.


Susu dan Produk Tenusu

~ Sumber penting protein dan kalsium. Kalsium membantu membina tulang dan gigi yang kuat.

~ Sumber : Susu, keju dan yogurt.

~ Petua : Susu pekat manis tidak dianggap sebagai produk tenusu dan nilai pemakanannya juga rendah. Jika anda mahu menambahkan susu ke dalam bijirin sarapan atau minuman malt si manja, gunakan susu biasa atau susu ibu.


Minyak dan Lemak

Minyak dan lemak tidak dianggap tergolong dalam kumpulan makanan utama, tetapi tetap memainkan peranan penting. Lemak dan minyak daripada makanan membekalkan tenaga, vitamin larut lemak dan asid lemak perlu. Asid lemak perlu adalah penting untuk tumbesaran yang sihat, terutama sekali untuk perkembangan otak kanak-kanak kecil dan juga untuk penglihatan mata mereka. Lemak berlebihan atau tiada lemak langsung boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak yang sedang membesar. Oleh itu, gunakan lemak dan minyak dengan sewajarnya apabila memasak makanan untuk anak-anak dan keluarga anda.

Jadi, sekarang anda sudah ketahui apa yang patut diberikan kepada anak-anak anda tetapi cara dan jumlah yang perlu diberikan kepada mereka harus dititikberatkan juga.

{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Posting Komentar