Bukan mudah menyuruh anak terutamanya yang masih kecil melakukan kerja rumah. Ini kerana mereka masih belum memahami soal tanggungjawab terhadap keluarga.
Menurut pakar kanak-kanak, kerja rumah sangat baik dilakukan oleh kanak-kanak kerana ia adalah langkah pendekatan kasih sayang secara fizikal dan emosi antara seorang anak dengan ibu atau bapanya. Justeru, kanak-kanak seharusnya diberi peluang melakukan sesuatu bagi membuktikan peranan mereka diperlukan. Bagi ibu-ibu yang ingin melatih anak mereka melakukan kerja rumah, ikuti beberapa tip berikut:
Jangan Mengulangi Kerja Anak
Si kecil baru sahaja selesai menyapu lantai. Namun lantai kelihatan masih kotor. Jika anda ingin mengulangi kerja tersebut, pastikan dia tidak mengetahuinya. Ini kerana dia mungkin berkecil hati dan menganggap apa yang dilakukannya itu tidak dihargai. Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas usahanya itu, tidak salah jika anda memberikan sedikit pujian meskipun hasilnya tidak seperti yang diharapkan.
Lakukan Bersama-sama
Jika anda meminta si kecil membersihkan kamarnya, pastikan anda turut sama melakukannya. Perlu diingat, jangan anggap aktiviti membersihkan bilik tidur sebagai hukuman kepada si kecil sebaliknya manfaatkan kegiatan ini sebagai waktu berkualiti anda bersamanya.
Berikan Tugas Bersesuaian Mengikut Usia
Menetapkan satu hari khusus untuk membersihkan rumah sering kali dilakukan oleh kebanyakkan ibu. Bagaimanapun jangan memaksa anak-anak untuk melakukannya sehari suntuk. Ini kerana mereka masih mempunyai keinginan yang besar untuk bermain. Tambahan pula, konsentrasi mereka untuk melakukan tugas tersebut biasanya tidak bertahan lama. Langkah terbaik ialah melakukan pembahagian tugas dengan tempoh masa yang bersesuaian dengan kudrat dan usia si kecil.
Elakkan Memberi Upah
Tidak salah memberikan penghargaan kepada si kecil sekiranya mereka mahu melakukan sesuatu. Pun begitu, jangan sekali-kali mengaburi mata mereka dengan berjanji untuk memberikan upah dalam bentuk wang ringgit. Katakan kepada mereka bahawa aktiviti membersihkan rumah bukan satu paksaan tetapi ia merupakan satu tanggungjawab setiap ahli keluaga.
Home » Penjagaan Bayi » Melatih Si Kecil Melakukan Tugasan Di Rumah
{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }
Posting Komentar