Hampir semua wanita, tidak kira bangsa, apabila mula mengandung, mereka akan menghadapi saat 'mengidam', iaitu keinginan yang memuncak terhadap sesuatu makanan atau minuman, padahal sebelum itu bukan menjadi keinginannya.
Gejala mengidam ada buruk dan baiknya. Jika mengidam makanan atau minuman yang baik dan sesuai ketika sedang mengandung, untuk dirinya atau bayi dalam kandungan, maka baik dan wajar dipenuhi. Tetapi jika mengidam makanan atau minuman yang tidak baik atau sesuai ketika mengandung atau yang haram dan berbahaya pada dirinya dan bayi dalam kandungan, maka wajarlah tidak dipenuhi.
Punca mengidam adalah kerana perubahan hormon di dalam badan ibu yang sedang mengandung dan menyebabkan perubahan kepada seleranya. Namun perubahan selera itu tidak semua wajar diikuti.
Sebelum memenuhi tuntutan perasan mengidam terhadap sesuatu makanan atau minuman, eloklah berbincang dan mendapatkan nasihat suami atau doktor demi menjaga dan menentukan kesihatan diri dan bayi dalam kandungan. Ini disebabkan, mengidam sebenarnya datang daripada dorongan dalam diri atau dengan kata lain datang daripada dorongan nafsu makan, bukannya hasil keinginan bayi dalam kandungan.
Oleh itu, selaku orang Islam, kita hendaklah mengaturnya mengikut kesesuaian syariat. Jangan kita terpengaruh dengan anggapan sesetengah orang, kononnya, sekiranya tidak memenuhi kehendak isteri mengidam, nanti anak dalam kandungan kempunan. Kononnya, apabila ini berlaku, maka apabila dilahirkan kelak, air liurnya sentiasa mengalir (meleleh) dari mulutnya.
Sepertimana dijelaskan tadi, tidak semua keinginan ibu (mengidam) sedang mengandung itu wajar dituruti. Semuanya bergantung kepada keadaan dan jenis makanan atau minuman yang diingini serta kemampuan untuk mendapat dan mengadakannya. Masakan jika isteri mengidam sesuatu yang haram dan berbahaya diri dan anak dalam kandungan, seperti mengidam daging babi, mengidam rokok, dadah dan lain-lain, adakah suami akan memenuhinya juga? Fikir-fikirkanlah.....
Home » Panduan Kehamilan » Masalah Mengidam Dan Cara Mengatasi

{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }
Posting Komentar